Tuesday, 19 March 2013

Kisah Sahabat : 'Amr bin Jamuh (Part II)


"Pahlawan Syorga Berkaki Pincang"


Sambungan..


Apabila mereka sampai ke buaian, Akhi Malik memulakan bicara...Akhi Jupin dan Akhi Udin khusyuk mendengar celoteh Akhi Malik sambil buaian di ayun perlahan-lahan mengikut rentak pendulum

Begini kisah nya......

'Amr bin Jamuh adalah seorang pemimpin Yatsrib (Madinah) masa jahiliyah. Dia adalah kepala suku yang dihormati dari Bani Salamah. Seorang penduduk Madinah yang sangat pemurah dan memiliki peri kemanusiaan yang tinggi. 

Sudah menjadi adat bagi para bangsawan jahiliyyah menempatkan patung di rumah mereka masing-masing untuk peribadi mereka. Pertama, supaya mereka dapat mengambil berkat dan memuja patung tersebut setiap pagi dan petang.

Kedua, untuk memudahkan mereka meletakkan korban suci di altar pada waktu-waktu tertentu. Ketiga, supaya mereka dapat mengadukan keluhan-keluhan mereka setiap waktu diperlukan.

Patung di rumah 'Amr bin Jamuh bernama "Manat". Patung ini terbuat dari kayu. Buatannya indah dan mahal harganya. Untuk penjagaanya 'Amr bin Jamuh perlu mengeluarkan biaya yang tidak sedikit. Patung itu selalu dibersihkan dan diminyaki dengan wangian khusus dan mahal.

Tatkala cahaya iman mulai merambat di Yatsrib (Madinah) dari rumah ke rumah, usia 'Amr bin Jamuh sudah hampir memamah lewat enam puluh tahun. Tokoh da'wah Islamiah yang pertama-tama aktif di Yatsrib ialah Mus'ab Bin Umair.

Tiga orang putera 'Amr bin Jamuh, iaitu : Mu'awwadz, Mu'adz dan Khallad, serta seorang rakan sebaya mereka iaitu Mu'adz bin Jabal telah masuk Islam di tangan Mus'ab bin Umair. Bersama ketiga-tiga putera 'Amr yang memeluk agama Islam ialah ibu mereka sendiri Hindun binti Amru. 'Amr tidak mengetahui kalau putera dan isterinya telah masuk Islam.

Kerana itu 'Amr berkata kepada isterinya, "Hai Hindun! Hati-hatilah menjaga anak-anak kita, agar mereka jangan sampai bertemu dengan orang itu (Mus'ab bin Umair)!"

Jawab Isterinya, "Adinda patuhi nasihat kakanda. Tetapi pernahkah kakanda mendengar putera kakanda Mu'adz bercerita mengenai orang itu?"

"Celaka! Apakah si Mu'adz telah masuk agama orang itu?" tanya 'Amr gusar. Wanita yang soleh itu kasihan melihat suaminya yang sudah tua.

"Tidak! Bukan begitu! Tetapi si Mu'adz pernah hadir dalam majlis orang itu, dia ingat kata-katanya", jawab isterinya mententeramkan hati 'Amr 

"Panggillah dia kemari!" kata suaminya.

Ketika Mu'adz hadir di hadapan bapanya, 'Amr berkata, "Cuba engkau baca kata-kata yang pernah diucapkan orang itu. Bapak ingin mendengarkannya.

Mu'adz membacakan surah Al-Fatihah kepada bapanya. "Alangkah bagus dan indahnya kalimat itu," kata 'Amr.

"Apakah setiap ucapannya seperti itu?", tanya 'Amr.
"Bahkan lebih bagus dari itu. Bersediakah bapak berba'iat dengannya? Rakyat bapa telah bai'at semuanya dengan dia", kata Mu'adz.

Orang tua itu diam sebentar. Kemudian dia berkata, "Saya tidak akan melakukannya sebelum saya musyawarah lebih dahulu dengan Manat. Saya menunggu apa yang dikatakan Manat."

"Bagaimana Manat bisa menjawab? Bukankah itu bende mati ? Dia tidak bisa berfikir dan tidak bisa berbicara?" kata Mu'adz.

"Saya katakan kepadamu, saya tidak akan mengambil keputusan tanpa dia!" kata 'Amr menegaskannya.

'Amr bin Jamuh menyembah Manat di altar tempat dia biasa memuja. Dipujanya patung itu dengan puji-pujian setingginya, kemudian dia berkata, "Hai Manat!, Saya tidak ragu, engkau tentu tahu mengenai seorang Dai'e yang datang dari Makkah. Dia tidak bermaksud jahat kepada sesiapa pon, melainkan kepada engkau sendiri. Dia datang kemari, melarang kami menyembah engkau. Sekalipun saya terpesona mendengarkan kalimat-kalimatnya yang indah, saya tidak mahu melakukan bai'at dengannya sebelum bermusyawarah dengan engkau. Kerana itu berilah saya petunjukmu."

Gambar sekadar hiasan


Sudah tentu Manat tidak menjawab apa-apa. Dia diam seribu bahasa seperti biasa dan akan terus diam (kerana menjadi Sunnatullah bahawa kayu memang tidak boleh bercakap)

Kata 'Amr, "Mungkin engkau marah kepada saya. Padahal saya tidak pernah menyakitimu selama ini. Tetapi tidak apalah. Engkau akan saya tinggalkan beberapa hari sampai marahmu hilang".

Putera-putera 'Amr tahu benar bila waktunya bapa mereka memuja berhala itu. Mereka juga sedar bahawa iman bapanya mulai goyang terhadap Manat. Kerana itulah mereka berusaha hendak mencabut Manat dari hati bapa mereka.

Pada suatu malam putera-putera 'Amr dan sahabat mereka Mu'adz Bin Jabal pergi ke altar tempat Manat berada. Mereka mengambil Manat, lalu membawa ia ke lubang kotoran Bath Salamah dan mereka lemparkan ke sana. Tidak seorang pun yang mengetahui dan melihat perbuatan mereka.

Setelah hari Subuh 'Amr pergi ke altar hendak memuja. Tetapi alangkah terkejutnya 'Amr apabila dilihatnya Manat tidak ada di tempatnya.

"Celaka kemana Tuhan kita? Siapa yang mengambilnya malam tadi? tanya 'Amr.

Tidak seorang pun menjawab. 'Amr mencari Manat ke mana-mana. Akhirnya patung itu ditemukannya ke lubang kotoran dalam keadaan terbalik, kepalanya kebawah dan kakiknya ke atas. Manat diambilnya, lalu dimandikan dan diminyaki dengan minyak wangi. Sesudah itu diletakkannya kembali ke tempat semula.

"Demi Allah ! Seandainya saya tahu siapa yang menganiaya engkau, nescaya saya hukum dia!" kata 'Amr kepada Manat.

Pada malam kedua dan seterusnya putera-putera 'Amr melakukan perkara yang serupa, sehingga menyebabkan 'Amr hilang kesabaran, lalu 'Amr mengambil sebilah pedang, kemudian digantungkannya di leher patung Manat.

Kata 'Amr, "Hai Manat! Demi Allah! Sesungguhnya saya tidak tahu siapa yang menganiaya engkau. Seandainya engkau Maha Perkasa, cubalah lawan dengan orang yang menganiayamu itu, ini pedang untukmu"

Kemudian apabila orang tua itu masuk tidur, putera-putera 'Amr mengambil Manat  dan mereka ikat menjadi satu bersama dengan bangkai anjing lalu mereka lemparkan ke Comberan Bath Salamah.

Setelah orang tua itu bangun, dilihatnya Manat tiada ditempatnya. 'Amr pergi mencari dan menjumpai Manat di comberan Bath Salamah. Muka Manat menghadap ke tanah bersatu dengan bangkai anjing. Pedangnya tidak ada. Sekarang Manat tidak diambilnya, tetapi dibiarkan tercampak dalam comberan. Kata 'Amr, "Kalau benar engkau Tuhan, nescaya engkau tidak mahu masuk dalam comberan bersama dengan bangkai anjing".

Tidak lama kemudian 'Amr masuk Islam...

'Amr merasakan betapa manisnya iman. Dia menyesali dosa-dosanya selama dalam kemusyrikan. Maka setelah Islam, dia menyerahkan hidupnya, hartanya dan anak-anaknya dalam mentaati Allah dan Rasul-Nya.

Tidak lama kemudian terjadi perang Uhud. 'Amr bin Jamuh melihat ketiga puteranya bersemangat untuk pergi memerangi musuh-musuh Allah. Di dalam hatinya terdetik keinginan untuk mati syahid dan memperoleh redha Allah.

Akan tetapi putera-putera 'Amr melarang bapa mereka turut berperang, kerana beliau sudah tua dan berjalan pincang. Dan Allah telah memberi kelonggaran bagi mereka yang uzur untuk tidak menyertai peperangan.

'Amr marah mendengar kata-kata dari puteranya dan pergi menemui Rasulullah.

"Wahai Rasulullah! Putera-putera saya melarang saya berbuat baik. Mereka keberatan untuk membenarkan saya turut berperang. Demi Allah! Walaupun saya sudah tua dan pincang, saya tidak ingin bersantai santai mendapatkan syurga. Sungguh pun saya pincang, saya pengedara kuda yang tangkas!" kata 'Amr mengadu kepada Rasulullah.

Maka Baginda bersabda "Biarkanlah ayah kalian! Mudah-mudahan Allah memberinya rezeki syurga".

Putera-putera 'Amr membiarkan bapanya turut berperang, kerana patuh kepada perintah Rasulullah. Ketika waktu berangkat sudah tiba, 'Amr bin Jamuh pamit kepada isterinya mengucapkan salam perpisahan. Berpisah untuk tidak bertemu lagi.

 Kemudian dia menghadap ke kiblat sambil menadahkan kedua tanganya ke langit. Dia berdoa, "Wahai Allah! Berilah saya rezeki sebagai syuhada. Janganlah saya dikembalikan kepada keluarga saya dengan kecewa.

Sesudah berdoa dia berangkat diiringi ketiga orang puteranya dan pasukan besar kaumnya, Bani Salamah. Ketika pertempuran telah berkecamuk, tentera muslimin terpencar-pencar, banyak yang meninggalkan Rasulullah.

'Amr bin Jamuh berada di barisan depan pasukan berkuda. Dia terbanting dari kudanya. Dia bangun dan menyerang musuh dengan keadaan terpincang-pincang sambil berteriak, "Saya tertarik ke Syurga, saya tertarik ke Syurga !"

'Amr selalu didampingi puteranya Khallad. Kedua beranak itu melindungi Rasulullah dengan menebaskan pedang mereka kepada musuh-musuh yang mendekati. Namun akhirnya 'Amr beserta anaknya Khallad syahid pada peperangan tersebut. 'Amr dan anaknya dikuburkan dalam satu kuburan yang sama...

Begitulah kisah seorang Sahabat yang syahid berkaki pincang...

Buaian diberhentikan seusai Akhi Malik menutup bicaranya.

"Subhanallah...sampai begitu sekali pengorbanan 'Amr bin Jamuh setelah mendapat cahaya Islam". Ujar Akhi Udin tanda kagum dengan perjuangan Sahabat tersebut.

"Hmmm..kisah ini akan ana jadikan pengajaran, bahawa walaupun kita dalam keadaan uzur, ianya tidak bererti kita tidak mampu melakukan yang terbaik untuk agama ini". Akhi Jupin cuba mencelah.

Akhi Malik tersenyum lebar, melihat kesungguhan kedua-dua sahabatnya..

Mereka bersalaman dan meneruskan agenda mereka masing-masing pada petang itu...


Wallahualam.
KitAdalahLogam




No comments:

Post a Comment